Sunday, October 17, 2010

Cintaku Tetap Sama

Lama dulu…
aku sudah lupa tarikhnya,
rasa cinta itu hadir
menyelinap halus ke dasar hati,
mengundang rasa bahagia tatkala bersama
menyisip rasa rindu bila terpisah.
Kau teman sejati,
bersama mu aku tenang,
kau membawa aku ke alam yang lain,
mengajar aku mengenal dunia yang indah,
mengenal Pencipta yang Maha Kaya,
mengenal manusia dan kerenahnya…
Kau membuat aku berfikir,
kau timbulkan pelbagai soalan,
lantas,
kau memberi jawapan pada soalan ku,
sering kali kau membuat aku tertawa
lenggong bahasamu menggoda ku,
sesekali kau membuat aku menangis,
sungguh bijak kau melembutkan hatiku.
Ada ketika ku alpa, lupa diri
Lupa pada Dia yang menjadikan kau dan aku,
Dan kau hadir mengingatkan ku,
Menasihatiku…
Membawa aku kembali kepada fitrah…
Adakalanya aku lemah,
Dirundung pelbagai soalan,
Diasak bermacam masalah,
Terasa ingin terus rebah,
Kau kurenung,
Bait katamu ku hayati,
Kekuatan itu datang kembali,
Merasa kuat untuk terus berdiri,
Terus melangkah tanpa henti.
Rasa cinta padamu adalah anugerah,
Dulu aku mencintai mu,
Biar apa kata mereka,
Cintaku tetap sama, selamanya…


Monday, February 22, 2010

Semaikan cinta kita begini.....

Tolong sampaikan pada si dia…

Tolong beritahu si dia aku ada pesanan buatnya..
Tolong beritahu si dia, cinta agung adalah cintaNya..
Tolong beritahu si dia, cinta manusia bakal membuatnya alpa..

Tolong nasihati sia dia, jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa..
Tolong nasihati si dia,jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa..
Tolong nasihati si dia, jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya..

Tolong katakan pada si dia, dahulukan Allah kerana di situ ada syurga..
Tolong katakan pada si dia, dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya..

Tolong ingatkan si dia. Aku terpikat kerana imannya bukan rupa..
Tolong ingatkan si dia. Aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta..
Tolong ingatkan si dia aku kasihinya kerana santunnya..

Tolong tegur si dia, bila dia mula mengagungkan cinta manusia..
Tolong tegur si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya..
Tolong tegur si dia, andai nafsu mengawal fikirannya..

Tolong sedarkan si dia. Aku milik Yang Maha Esa..
Tolong sedarkan si dia. Aku masih milik keluarga..
Tolong sedarkan si dia, tanggungjawabnya besar kepada keluarganya..

Tolong sabarkan si dia, usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana..
Tolong sabarkan si dia, andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta..
Tolong sabarkan si dia, bila jarak mejadi penyebab bertambah rindunya..

Tolong pesan padanya. Aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya..
Tolong pesan padanya. Aku tak mahu menjadi punca kegagalannya..
Tolong pesan padanya aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya..

Tolong khabarkan pada si dia. Aku tidak mahu melekakan dia..
Tolong khabarkan pada si dia. Aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya..
Tolong khabarkan pada si dia, jadilah penyokong dalam kejayaanku..

Tolong sampaikan pada si dia. Aku mendambakan cinta suci yang terjaga..
Tolong sampaikan pada si dia,cinta kerana Allah tidak ternilai harganya..
Tolong sampaikan pada si dia, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa..
Tolong sampaikan kepada si dia kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri...

Hanya engkau Ya Allah mengetahui siapa si dia.. Moga pesananku sampai padanya walau aku sendiri tidak mengetahui siapa dan dimana si dia.. Moga dia seekor lebah yang sentiasa memuji keagungan Yang Maha Kuasa memasuki taman larangan dengan sopan santunnya dan bertemu mawar berduri yang terjaga oleh tuannya.. Simpanlah pesanan ku ini sehingga engkau bertemu diriku suatu hari nanti...

Ya Ukhti! Jalan Ibadah Amat Luas Untukmu!

Wahai saudari-saudari muslimahku,

Cubalah kalian nilaikan berapa banyakkah ibadah-ibadah yang kalian boleh lakukan ketika haidh tetapi kalian masih tidak melakukannya. Bukaklah Hisnul Muslim, lihatlah doa-doa dan zikir-zikir yang Nabi Muhammad s.a.w amalkan, nilailah, cerminlah diri kita sudahkah kita amal semua zikir-zikir yang ada di dalamnya.

Jika masih belum puas, periksalah pula kitab al-Adzkar oleh Imam an-Nawawi. Lihat berapa banyak zikir-zikir dan doa-doa yang kalian belum amalkan. Jadi tiada alasan untuk kalian wahai-wahai srikandi tercinta untuk berkata bahawa apabila haidh maka kami kurang beribadah berbanding lelaki.

Wahai saudari-saudari seaqidahku,

Dalam bab membaca dan menyentuh al-Quran. Ulama-ulama umat masih berbeza pendapat tentang pengharamannya. Seandainya saudari berpegang kepada pendapat mengharamkannya, masih banyak ibadah yang saudari boleh lakukan bahkan tak akan habis untuk saudari lakukan di satu malam.

Wahai srikandiku,

Apabila kalian uzur, bukan alasan untuk kalian menghabiskan masa menonton televisyen tatkala si suami sedang bersolat. Bukanlah ia menjadi alasan untuk saudari menghabiskan hari siang dan malammu dengan tidur dan membiarkan si suami bersolat malam sendirian. Bukan juga ia menjadi alasan untuk kalian membiarkan anak-anak terkapai-kapai mempelajari al-Quran sendirian. 

Wahai srikandiku,

Cuba kalian kira, berapa minitkah bagi setiap solat yang kalian lakukan apabila kalian berada di dalam keadaan suci. Andai kata 5 minit. Kenapa tidak kalian gunakan 5 minit itu untuk membaca doa-doa dan zikir-zikir yang Rasulullah s.a.w amalkan. Jika kalian solat malam selama 1 jam di bulan Ramadhan ketika kalian suci. Kenapa tidak kalian gunakan sejam itu dikala kalian uzur untuk kalian membanyakkan istighfar, memohon keampunan daripada Tuhan. Biarkanlah air mata kalian keluar pada malam itu. Biarkan ia menjadi saksi ketundukan kalian kepada Allah yang Maha Pengampun.

Wahai saudariku,

Jika kalian tidak berpuasa, gunakanlah kelebihan kekuatan yang ada pada hari itu untuk membantu kawan-kawan kalian yang berpuasa. Saudari boleh sediakan hidangan berbuka untuk mereka dan membiarkan mereka berehat. Saudari juga boleh membantu mereka melakukan kerja-kerja rumah, dan mengurangkan kerja-kerja mereka. Bukankah ini semua ibadah wahai srikandiku.

Wahai saudariku,

Jika saudari berpegang kepada ulama yang menyatakan haram wanita uzur memasuki masjid, masjid banyak ibadah yang boleh saudari lakukan dirumah. Jika saudari berpegang kepada pendapat membenarkan saudari yang uzur ke masjid, banyak juga yang saudari boleh lakukan di masjid walaupun tidak bersolat.

Saudari boleh membantu menjaga kanak-kanak kecil yang sedang bermain tatkala ibu bapa mereka bersolat. Saudari boleh bacakan kepada mereka kisah-kisah nabi, saudari boleh mengajar mereka membaca Alif, Ba, Ta. Saudari boleh menenangkan mereka tatkala mereka menangis menanti si ibu yang sedang bersolat. Bukankah ini semua ibadah wahai srikandiku.

Ya ukhti,

Sungguh luas jalan ke syurga yang Allah bentangkan untuk saudari. Janganlah saudari sempitkan jalan yang luas itu. Mahukah saudari menempun jalan mudha ke syurga? Bukankah jalan ke syurga dimudahkan untuk mereka yang menuntut ilmu.

Saudari boleh gunakan masa yang biasa saudari lakukan untuk solat dengan membaca buku-buku agama. Saya nasihatkan saudari untuk memulakan dengan bahan bacaan asas agama. Saudari mulakanlah dengan membaca buku-buku berkaitan akidah. Pilihlah buku yang mudah. Saudari boleh membaca Kitab at-Tauhid karangan Shaikh Muhammad bin Abdul Wahab. Sangat ringkas buku ini dan mudah untuk saudari fahami. Saudari juga boleh membaca buku saudara Hafiz Firdaus Abdullah tentang contoh-contoh hal yang boleh merosakkan akidah. Selepas itu saudari hendaklah membaca buku tentang bersuci.

Buku kecil Sifat Wudhu Rasulullah amatlah berguna buat saudari. Selepas itu bacalah buku Sifat Solat Nabi untuk saudari memperbaiki mutu solat saudari. Saudari juga tidak boleh melupakan hukum-hakam khas untuk gadis atau wanita seperti saudari. Bacalah buku-buku berkaitan hukum hakam haidh, istihadah dan lain-lain. Saudara boleh membaca buku karangan Shaikh Shalih al-Utsaimin berkaitan hal ini. 

Wahai saudariku,

Saya kira jika mahu ditulis kesemua di sini akan hal-hal yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang uzur, nescaya akan habislah dakwat pena, akan menjadi bermuka-muka tulisan ini. Dan saudari juga mungkin tidak akan mampu melaksanakan kesemuanya.

Ya ukhti,

Ingatlah Allah Maha Adil. Keuzuran pada wanita bukan penghalang mereka beribadah. Sematlah rasa cinta pada Tuhan, yakinlah pada keadilanNya, titiskanlah air mata memohon keampunanNya.

Wallahu’alam.



Thursday, February 11, 2010

YA ALLAH...Kau Pimpinlah HambaMu ini.....

Tuhanku
ampunkanlah segala dosaku

Tuhanku
maafkanlah kejahilan hambaMu
Ku sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Ku sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar aku milikMu
Bilakah diri ini kan kembali
Kepada fitrah sebenar

Pagi kuingat petang kualpa
Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku kau pimpinlah diri ini
Yang mendamba CintaMu
Aku lemah aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu
Kau pengasih Kau penyayang
Kepada hamba-hambaMu
Selangkah ku kepadaMu S
eribu langkah Kau padaku

Ku sering berjanji di hadapanMu
Ku sering jua memungkiri
Ku pernah menangis keranaMu
Kemudian kerawa semula
Kutakut kepadaMu
Ku mengharap jua padaMu
Mogakukan selamat dunia akhirat
Seperti rasul dan sahabat

Friday, February 5, 2010

Bila Engkau....

Bila engkau letih & hilang semangat,
ALLAH tahu engkau telah mencuba sedaya upaya,
Bila tangisanmu berpanjangan & hati mu duka,
ALLAH telah mengira titis air matamu.

Bila engkau rasa ketinggalan & masa meninggalkanmu,
ALLAH tetap bersamamu,
Bila engkau kebuntuan akal,
maka ALLAH adalah penunjuk jalan.....
apabila engkau telah berazam, 
Maka bertawakallah kepada 
ALLAH....